Saturday, June 12, 2010

MAKAN-MAKAN DI TOKYO

Ah... perkara pertama yang ditanya.... mudahkah mendapat makanan halal di Tokyo? Jika anda seorang yang tidak memilih dan cerewet mengenai makanan, ia tidak menjadi masalah. Prinsip menggembara dan musafir mudah sahaja. Makan apa yang ada asalkan halal. Kalau di Jepun , makanan yang paling terkenal adalah Sushi, makanan ini halal kerana semuanya dibuat daripada makanan laut. Cuma anda lalu atau tak dengan makanan yang mentah dan nasi yang seperti pulut. Itu sahaja. Selalunya makanan Jepun ni di hidangkan dengan sup. Enak... Untuk makan-makan ala-ala Malaysia ada banyak tempatnya.
Kami di bawa ke Shin Okubo...hah disitu ada banyak makanan halal kerana pelbagai bangsa yang beragama Islam ada. Orang Pakistan, Siam, Indonesia , malah orang Brazil juga beragama Islam. Juadah pertama kami di Merah Putih Restaurant... milik warga Indonesia, bekas pelajar yang tidak mahu pulang ke negara asalnya dan berkahwin dengan orang Brazil. Masakannya ala Padang. Anda juga boleh menikmati masakan Malaysia di Jom Makan di Ginza. Restorant milik kerajaan Malaysia dan diusahakan juga oleh orang Malaysia, seorang pemuda Melayu dari Kelantan dan pemilik restoran pemuda Cina dari Ipoh. Semua jenis masakan dari Malaysia ada. Mee mamak, nasi ayam, nasi goreng kampung, puding sagu.... macam-macam ada. Di sepanjang restoran ni pula ada pelbagai restoran dari negara Asean yang lain, jadi anda boleh pilih yang mana berkenan di hati.

Monday, June 7, 2010

JALAN-JALAN DI KOTARAYA TOKYO

Pertama kali menelusuri Tokyo dari Lapangan Terbang Narita mengingatkan saya zaman kanak-kanak dulu semasa menonton cerita Giant Robot dan Ultraman dan bangunan yang ada saling tak tumpah seperti dalam cerita Giant Robot yang sedang bergaduh dengan Sang Raksasa Getah. Ultraman akan datang menyelamatkan bandar yang hampir musnah. Masih saya ingat lagi talian hayat di dada Ultraman yang akan berkerdip bila tenaga mula lemah dan kembali ke matahari untuk mengecas semula tenaganya. Resam Ultraman tidak boleh hidup di bumi. Rasanya cerita Ultraman masih ada sampai kini dan menjadi ikon kepada kanak-kanak lelaki. Bandaraya Tokyo terlalu besar untuk dijelajahi dalam masa seminggu . Tetapi sistem pengangkutannya yag moden dan efisien memudahkan pergerakan. Walau bagaimanapun kali pertama melihat rangkaian keretapi bawah tanahnya boleh pening. Terdapat 2 rangkaian utama iaitu Toei Line dan Tokyo Metro Line. Toei Line adalah rangkaian keretapi kerajaan dan Tokyo Metro Line milik swasta dan tentu sekali tiketnya lebih mahal. Kesemua 19 rangkaian keretapi di dalam kotaraya Tokyo dan ditunjukkan melalui kod warna yang berbeza. Anda perlu amati betul-betul Line yang mana yang boleh digunakan untuk sampai ke destinasi kalau tidak boleh sesat dan tak tahu arah tuju...


Sunday, June 6, 2010

TIBA DI TOKYO

IMEGRESEN
Seperti negara-negara lain juga, kemasukan pelancong ke Jepun perlu melalui beberapa proses. Peberbangan ke Jepun atau Lapangan Terbang Antabangsa Narita mengambil masa selama 7 jam. Bermula dengan mengisi borang kemasukan dengan butiran diri, hotel tempat menginap, jumlah wang yang dibawa dan jaminan siapa yang hendak ditemui di Jepun adalah perkara yang perlu di ambil perhatian. Sesampai di kaunter imgresen, anda akan diminta meletakkan dua hujung jari telunjuk pada skrin sesentuh dan potrait anda akan di ambil. Kalau anda berkaca mata, pastikan anda menanggalkannya ya. Seteleh urusan selesai anda akan bergerak pula ke kaunter kastam tetapi jangan lupa... ambil bagasi anda terlebih dahulu. Buka kunci beg supaya pihak kastam mudah untuk membuka bagasi jika difikirkan perlu. Setelah itu anda bolehlah bergerak ke destinasi yang hendak dituju. Sesuatu yang saya suka mengenai orang Jepun ni adalah sikap budi bahasa dan mesra melayan tetamu atau pelancong asing. Ambil perhatian bahawa perbezaan masa di antara Malaysia dan Jepun adalah 1 jam. Bermakna waktu di Jepun lebih cepat 1 jam dari Malaysia. Sila betulkan jam anda.
PERJALANAN KE DESTINASI
Seusai urusan di Lapangan Terbang Narita, anda bolehlah bergerak ke destinasi yang hendak dituju. Bagi saya yang pertama kali tiba di Negara Matahari Terbit ini agak terpinga-pinga juga kerana semua sistem komunikasinya dalam bahasa Jepun. Mujur juga ada rakan yang fasih berbahasa Jepun kerana pernah tinggal lama di Jepun. Beliaulah yang menjawap pertanyaan polis Jepun yang membuat random checking kepada pendatang ke Jepun tentann tujuan kunjungan. Kerjasama yang baik yang diberikan memberi kesan positif dan kami juga lolos. Untuk menuju destinasi pelbagai kemudahan ada. Pilih sahaja yang mana sesuai dan sesuai juga dengan bajet. Bagi kami yang menaiki Air Port Limousine adalah yang paling afdal. Tambang sekitar Y 3000 atau lebih kurang RM 100. Mahalkan! Tetapi itulah kenyataan.
Satu perkara lagi... tiada prepaid dijual di Jepun. Semua talian perlu didaftar dan anda perlu tinggal lama di Jepun barulah layak. Jadi untuk perbelanjaan yang menjimatkan, beli card phone dari mamat Bangla atau Pakistan yang kreatif menghasilkan teknologi komunikasi menggunakan talian tetap dan boleh bercakap berjam-jam lamanya ke kampung halaman dengan bayaran Y6000 atau RM 24.00. Murah! Lainlah kalau anda ada roaming dan GPS, bolehlah terus menggunakan telefon bimbit sendiri tetapi jangan terkejut dengan bilnya bila pulang ke Malaysia. Teringat juga orang Jepun bila terkejut dia akan kata eeehhhh dengan lembut sekali.

Saturday, June 5, 2010

JOM KE JEPUN

VISA

Pertama sekali apabila diajukan untuk ke Jepun rasa memang tidak percaya. Betul ke atau hanya mimpi macam lagu Dato' DJ Dave. Entah kenapa rasa teruja sangat walaupun baru balik dari Australia. Pertama sekali yang terlintas bagaimana? Untuk masuk ke Jepun ni mudah sajake atau perlu banyak halangannya. Terus saja je internet dan layari kedutaan Jepun. Sah! untuk masuk ke Jepun memang memerlukan visa. Beberapa perkara lagi selain gambar, perakuan majikan dan tujuan ke sana. Mujur juga tujuan kemasukan kerana perniagaan, tidak banyak karenahnya. Tetapi sekiranya untuk masuk ke Jepun atas tujuan melancong, anda perlu ada jaminan dan wang yang cukup dalam bentuk deposit tetap. Gambar untuk visa juga perlu mengikut spesifikasi 2" x 2" dan berlatar belakang putih. Cerewetkan! Proses mendapatkan visa memakan masa 3 hari. Kedutaan Malaysia di Jepun berada di Jalan Stonor. Satu lagi, jika anda ke Kedutaan Jepun, pastikan anda tinggalkan telefon bimbit di kaunter pengawal sebelum ke kaunter visa untuk proses selanjutnya.